RSS
Post Icon

Berbangga???


Jangan Berbangga dengan Calvin Klein & Armani Exchange anda kerana….
Pakaian Terakhir anda adalah Seikat Kain Putih… & perfume anda adalah kapur barus.. ''

Jangan Berbangga dengan fesyen terbaru dan jenis kain mahal yang menyarung tubuh anda kerana….

Kain Terakhir anda adalah Kain Kafan yang tidak Berjahit Tepi….

Jangan Berbangga dengan Evo10, BMW & Caldina GTfour anda kerana….

Kenderaan terakhir anda adalah Keranda yang akan diusung…''

Jangan Berbangga dengan Banglo dan Kondo anda kerana…..........

Tempat Pe... ri... sti... rehatan anda yang terakhir adalah Kubur….

Jangan Berbangga dengan Kehenseman atau Kecantikan anda kerana…..

Akhirnya Hanya menjadi santapan si Cacing dan Ulat....

Jangan Berbangga dengan Kekayaan dan Duit Anda yang Banyak kerana….

Akhirnya Semua Itu Menjadi Milik Kerabat yang Ditinggalkan…

Jangan Berbangga dengan Jawatan dan Gelaran Kebesaran anda kerana….

Akhirnya Anda Dipanggil Oleh Munkar & Nakir Dengan Nama Sebenar anda…

Jangan Berbangga dengan Jasa dan Kebaktian yang anda tabur kerana....

Akhirnya, Jangankan Segala Jasa Anda, Dengan anda-anda sekali Semua Orang akan Lupakan....

Jangan Berbangga dengan Mesej Ini (nak jadi 1st, 2nd etc..) kerana....

Anda akan Ditanya Kenapa Tidak Mengambil Pengajaran Darinya...
(Akan Ditanya Apa Niat Anda Berbuat Demikian?)...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

cara bersangka baik


Perasaan hasad,dengki,ujub dan riyak adalah perasaan kotor yang ada di dalam hati manusia kecuali Rasulullah SAW yang telah dicuci hatinya semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Berikut adalah tips dari Syeikh Abdulkadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.

Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Jom tengok video lucah hari ni kawan2!! best!!



*Perhatian kepada sahabat-sahabat, sebelum anda membaca artikel ini, saya sarankan agar anda membacanya dalam keadaan tenang, kerana artikel ini boleh dikatakan keras, pedas dan pasti sangat terasa. . Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah untuk menghina kaum wanita atau lelaki, jauh sama sekali, bahkan tujuan saya untuk menasihati, dan cara yang saya lakukan pelbagai. Ada yang perli, lawak atau keras. Apapun jika ada sebarang komen atau kritikan saya harap sangat anda boleh komen, yang terasa saya minta maaf..saya masih baru dalam penulisan macam ni =).




"Hmm, nak tengok laman apa pulak ei harini?. Hari-hari asyik tengok laman XXX je. Dah naik bosan tengok aksi yang sama, nak trylah search laman lain pulak, mana tahu ada adegan atau awek-awek yang lebih mantoppp!." Keluh si pemuda...


Si pemuda mula menggerak-gerakkan tetikusnya (bukan tikus kat longkang tu) untuk memilih search engine yang terbaik dari yang terbaik. Pilih punya pilih, ha dah dapat! ini dia!...al-syekh Google. Sesudah al-Syekh google terpampang di hadapan screennya, maka, dengan pantasnya si pemuda mula menekan-nekan butang keyboardnya untuk menulis laman-laman porno yang sedang bermain di kepala hotaknya. Pikir punya pikir punya pikir, ha dah dapat, baikkk punya!..dan tibalah masa bagi si pemuda untuk menekan butang enter.


"Tunggu dulu wahai saudaraku!."


Terdengar satu suara misteri yang tidak diketahui dari mana arah datangnya, suara misteri itu agak garau dan kasar. (Tkut ei?. Actuallay ni suara penulis, garau sebab hilang suara.)


"Saudaraku, sebelum kau meneruskan niat itu, berilah aku sedikit masa untuk memperkatakan sesuatu yang mungkin tidak kau ketahui sebelum ini, dan apa yang aku akan aku perkatakan ini mungkin akan membuatkan kau membatalkan niat kau sebentar tadi." - kata penulis.


"Wei cepat la, aku tak tahanlah, bajet alim!." - marah si pemuda


"Ah kau!. Agak-agak sikit, macam kau dah cukup baik je!." - balas penulis


"Siut la wei!. Datang ar depan-depan kalau berani." - si pemuda semakin marah


"Kau citta lebih la wei!. Sat gi aku datang kau lari lak!." - Alhamdulillah, penulis tidak mengalah


(Eh sorry!. Dah mengarut dan menyimpang jauh sangat dah kita ni!. Astaghfirullah, kita sambung semula kisah ini.)


"Saudaraku, pernahkah kau mendengar ayat ini?."


“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Nur: 30)


"Saudaraku, sesungguhnya kata-kata ini, bukanlah kata-kataku. Sebaliknya, inilah kata-kata Allah. Tuhan Yang Maha Agung, Tuhan yang telah Menciptakan kau dan aku dengan penuh kasih sayang. Tidakkah di dalam ayat ini, Allah memerintahkan kepada orang yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka?. Dari apa?. Sudah tentu dari melihat perkara-perkara yang haram. Antaranya termasuklah melihat wanita yang bukan mahram. Saudaraku!. Tidakkah apa yang kau ingin melihat ketika ini ialah melihat wanita yang bukan mahram?. Adakah ini perintah Tuhan kau?. (merah padam muka mamat tu).


...dan memelihara kemaluan mereka. "Ya!. Memelihara kemaluan dari keburukan kerana setiap manusia yang wujud di muka bumi ini mempunyai tanggungjawab ke atas apa yang telah dikurniakan oleh Allah. Setiap yang dikurniakan itu mempunyai peranan yang wajib dipatuhi dan ditaati sepenuhnya oleh setiap manusia. Antara kurniaanNya ialah kemaluan, yang tanpanya manusia sama sekali tidak akan mampu hidup..dan sudah tentu, kemaluan mempunyai peranannya yang telah ditetapkan Allah yang wajib dipatuhi!. Apakah pula peranannya?. Peranannya selain untuk mengeluarkan kekotoran dari tubuh badan ia juga berperanan untuk mengembang biak umat manusia!. Untuk menghasilkannya, kemaluan itu perlu disalurkan ke tempat yang SAH dan HALAL! iaitu pernikahan!. Saudaraku!. Tidakkah apa yang kau ingin melihat ketika ini akan menggunakan kemaluan?. Adakah ini halal?. Mahukah kau merosakkan keturunan kau?. Fikirkanlah..."


"Selepas menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, Allah mengatakan, Yang demikian itu lebih suci bagi mereka...Ya!. Suci bagi memelihara kesejahteraan jiwa dan agar dapat mempraktikkan kehidupan dengan berdisiplin dan bermaruah. Apatah lagi, dengan cara ini mereka juga akan berjaya mengawal nafsu jahat yang sentiasa bergerak aktif dengan bantuan Syaitan yang memainkan peranan siang dan malam menanti peluang menghanyutkan anak Adam ke lembah dosa dan kebinasaan.


Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka lakukan..."Mungkin kegembiraan sedang menguasai fikiran kau kerana perlakuan kau tidak dilihat oleh sesiapun, kau menyembunyikan diri kau di dalam bilik. "man, buat pe tu?." kata ibu kau. "Oh, tengah baca buku." - kata kau tersenyum gembira kerana berjaya membohongi ibu kau sendiri!."


"Saudaraku!. Bersembunyilah!, nescaya Allah Mengetahui, berbisiklah!, nescaya Allah tetap Mengetahui. Sehinggakan apa yang ada di dalam lubuk hati seseorang itu juga turut diketahuiNya. Janganlah kau cuba berdalih atau mencari alasan untuk menghalalkan perbuatan kau yang jelas bertentangan dengan perintahNya. Kerana...Dia Tuhan yang Maha Mengetahui...


"Saudaraku!. Sesungguhnya perlakuan zina itu bermula dengan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang itu berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan dengannya, dan seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Nauzubillah.."


Saudaraku, batalkanlah niat itu, dan marilah menyahut sahutan Rasulmu;


“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana kamu berada dan gantilah sesuatu dosa itu dengan pahala, nescaya ia (pahala) akan menghapuskannya (dosa) dan berakhlaklah terhadap manusia dengan akhlak yang mulia.” (hadis riwayat Tirmizi)"


Jika kau merasakan diri kau digelapi dan disaluti dosa yang menggunung, janganlah bersedih dan janganlah berputus asa, sebaliknya teruslah memburu rahmat dan pengampunan Tuhanmu yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.


Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


"Hadis ini bukanlah memberi lesen kepada manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah."


"Hadis ini dapat memberikan semangat kepada mereka yang telah melakukan dosa berulang kali untuk terus bertaubat dan bukanlah berputus asa dengan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya."


"Jika Allah menutup pintu rahmat dan ampunanNya, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan tetap terus tenggelam dalam kejahatan dan kegelapan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir."


oleh: Abu Muawiyah

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon


Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, ditangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan. Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah 'Kapur', jika saya angkat pemadam ini, maka katalah 'Pemadam'."



Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah 'Pemadam', jika saya angkat pemadam, maka katakanlah 'Kapur'. Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.


Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika."

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, seks sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu." "Baik permainan kedua," begitu Guru melanjutkan. "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah , bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?"



Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat dan lain-lain. Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet. "Murid-murid, begitulah umat Islam dan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasa pun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar.


"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan."


"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Inisemua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita."


"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid-murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam. Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sedar".



"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik tatkala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing di kepalanya...



*yang baik dijadikan sempadan,yang buruk jadikan teladan...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Raya Hari Jumaat: Benarkah Tak Wajib Solat Jumaat

Oleh: Abu Anas Madani

Solat Jumaat Pada Hari Raya.

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله، وبعد.

Soalan: “Apakah benar jika hari raya jatuh pada Hari Jumaat maka sesiapa yang telah menunaikan Solat Hari Raya tidak wajib lagi untuk menunaikan Solat Jumaat?

Dalam persolan ini terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah saw;


Pertama: Hadis Zaid bin Arqam

عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ. رواه أبو داود (1590)،

Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a: Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini ditashih oleh ramai ulama’].

Kedua: Hadis Abu Hurairah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ) رواه أبو داود رقم: 1073.

Sabda Nabi saw: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ). رواه ابن ماجة رقم: 1311.

Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. [HR: Ibnu Majah]

Ketiga: Hadis Abdullah bin Umar.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ) رواه ابن ماجه رقم: 1313.

Katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” [HR: Ibnu Majah]


Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada 'Idul Fitri mahupun 'Idul Adha.

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul Balad/ahlul madinah) yang di tempat mereka memang diadakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung yang jauh atau pendalaman (ahlul Qura / badawi), yang di tempat mereka itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung yang jauh- setelah solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa menunggu untuk mengikuti solat Jumaat pula.

Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Usman dan Umar bin Abdul Aziz dan Jumhur Ulama’.

Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (terdapat kemudahan masjid). Bagi penduduk desa atau kampung pendalaman yang berkunjung ke kota khas untuk solat hari raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. [Majmu’: 4/320]

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang didirikan solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung.

Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang dari kampung mahupun bagi orang bandar yang dekat dengan tempat solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur, kecuali Imam (wajib ke atasnya mendirikan Jumaat). Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubair dan ‘Ali ra.

Dalil Mazhab Jumhur (kebanyakkan ulama’):

1- Umum Ayat Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [Al-Jumu’ah:9].

2- Demikian juga hadis-hadis yang menyuruh supaya bersolat Jumaat.

3- Jumaat dan Solat Eid adalah dua solat yang berasingan, maka tidak gugur dengan melakukan salah satu dari keduanya, seperti solat Eid dan Zuhur.

4- Sayyidina Osman ra dalam khutbah hari raya yang jatuh pada hari Jumaat …kepada penduduk ‘Aliyah (pendudut sebelah timur Madinah): “Sesiapa yang mahu tunggu solat Jumaat, boleh tunggu, sesiapa yang ingin balik, boleh balik..) [HR: Bukhari]

قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ: ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ) [رواه البخاري، بَاب مَا يُؤْكَلُ مِنْ لُحُومِ الأَضَاحِيِّ وَمَا يُتَزَوَّدُ مِنْهَا]

Dalil Mazhab Hanafi: Berpegang dengan kewajipan asal fardhu Solat Jumaat.

Dalil Mazhab Hambali: Hadis-hadis di atas.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur berpegang kepada dalil umum dan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah adalah berpegang pada dalil yang khusus.

Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya - yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat - gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. [Pendapat Mazhab Hambali]

Hukum kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur.

Hukum keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.


Kesimpulannya,

Pendapat jumhur yang membezakan antara warga bandar dengan orang yang jauh dari tempat solat Jumaat didirikan adalah wajar diambil kira, kerana ulama’ telah meletakkan suatu kaedah: “Keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal” oleh itu bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid hendaklah tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, bagi sesiapa yang mempunyai masyaqqah (kesusahan) untuk kembali semula ke tempat Jumaat memadailah dengan melakukan solat Zuhur.

Demikian juga waqi’ atau realiti rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie (secara resminya) adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Keizinan yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.

Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah, masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan kaum lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat, ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham.

Rujukan:

Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Imam An-Nawawi. 4/319-321, cet, Dar al-Ulum, Mesir.

Al-Mughi, Ibn Qudamah. 3/242. Cet, 5. 1426H. Dar Alam Al-Kutub, Riyadh.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Migrain-Perubatan Secara Nabawi

Daripada Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada kami dalam keadaan kepala Baginda diikat.
Dalam satu hadis sahih disebut saat Rasulullah s.a.w. sakit menjelang wafat, Baginda bersambda yang bermaksud, "Aduh, kepalaku!". Baginda mengikat kepalanya pada waktu sakit. (Riwayat al-Nasa'i, Ibn Majah dan Ahmad.)

1- Relaks dan berdiam diri.

Syeikh Dr. Muhammad Musa al-Nasr menyebut di dalam bukunya bahawa Imam Ahmad telah meriwayatkan hadis daripada Buraidah bahawa Rasulullah s.a.w. mungkin mengalami migrain sehingga Baginda berdiam diri satu atau dua hari dan tidak banyak berkata-kata.
Teknik ini dipercayai mampu menghindar serangan migrain apabila terdapat tanda-tanda awal. Tidur dan rehat secukupnya merupakan ubat yang paling mujarab.

2- Berbekam.

Daripada Salma, seorang khadam Rasulullah s.a.w. mengatakan : 'Tidak seorang yang mengadu sakit kepalanya kepada Rasulullah s.a.w. melainkan Baginda mengatakan, 'Berbekamlah,' dan tidak juga rasa sakit di kedua kakinya melainkan Baginda bersabda, ' Pakaikan inai pada kedua-duanya.'" (Sahih Sunan Abi Daud)
Syeikh Dr.Muhammad Musa al-Nasr mengatakan: "Bekam dilakukan dikepala untuk mengeluarkan bahan-bahan yang berbahaya pada bahagian atas badan. Sedangkan inai dilakukan pada kaki untuk mengeluarkan dan menarik zat-zat yang rosak dari bahagian bawah badan."
Diriwayatkan daripada Anas bin malik r.a. : "Bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berbekam ketika baginda berada dalam keadaan berihram daripada rasa sakit yang yang dirasakan kepala Baginda." (Sahih Ibn Khuzaimah dengan Tahkik al-Azhami (IV/187)

Subhanallah, begitu hebat sekai cara perubatan yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.. Dengan berbekam sahaja badan seseorang akan terasa lebih segar, kepala terasa ringan dan pandanga menjadi lebih jernih. Pesakit migrain yang biasanya diserang sakit kepala setiap 1-2 minggu tidak lagi menderita selama 3-4 bulan bahkan mungkin sembuh sepenuhnya dengan izin Allah s.w.t.. Inilah rahsia perubatan nabawi yang menakjubkan. Tanpa ubat dan tanpa kesan sampingan. Wallhuaklam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Hukum Onani (Masturbasi) Bagi Lelaki & Wanita

Jawapan Oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi


Kadang-kadang darah pemuda bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk mengeluarkan mani supaya alat kelaminnya itu menjadi tenang dan darahnya yang bergelora itu menurun. Cara semacam ini sekarang dikenal dengan nama onani (bahasa Arabnya: istimta' atau adatus sirriyah).

Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi:

"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Al-Mu'minun: 5-7)

Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.

Sedang Ahmad bin Hanbal berpendapat, bahawa mani adalah barang lebihan. Oleh karena itu boleh dikeluarkan, seperti memotong daging lebih.

Pendapat ini diperkuat oleh Ibnu Hazm. Tetapi ulama-ulama Hanafiah memberikan Batas kebolehannya itu dalam dua perkara:

1. Kerena takut berbuat zina.
2. Kerena tidak mampu kawin.

Pendapat Imam Ahmad ini memungkinkan untuk kita ambil dalam keadaan gharizah (nafsu syahwat) itu memuncak dan dibimbangkan akan jatuh ke dalam haram. Misalnya seorang pemuda yang sedang belajar atau bekerja di tempat lain yang jauh dari negerinya, sedang pengaruh-pengaruh di hadapannya terlalu kuat dan dia bimbang akan berbuat zina. Karena itu dia tidak berdosa menggunakan cara ini (onani) untuk meredakan bergeloranya gharizah tersebut dan supaya dia tidak berlaku zina.

Tetapi yang lebih baik dari itu semua, ialah seperti apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap pemuda yang tidak mampu berkahwin, iaitu kiranya dia memperbanyak puasa, dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar bersabar dan menguatkan kedekatan untuk bertaqwa dan keyakinan terhadap penyelidikan (muraqabah) Allah kepada setiap jiwa seorang mu'min. Untuk itu Rasuluilah s.a.w. bersabda sebagai berikut:

"Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan; tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (Riwayat Bukhari)

Dipetik dari kitab al-Halal wal Haram fil Islam

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

adakah pesananmu ku ikuti?


Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

17 kelebihan sujud


1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.

2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

3. Melegakan sakit hernia.

4. Mengurangkan sakit sengugut ketika haid.

5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.

6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

7. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

8. Meringankan bahagian pelvis.

9. Memberi dorongan supaya mudah tidur.

10. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik secara semulajadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah.

11. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk menyusukan bayi serta terhindar daripada sakit buah dada.

12. Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.

13. Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).

14. Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

15. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar dari penyakit salur darah dsb.

16. Dari segi psikologi, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dsb.

17. Dari sudut perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekaligus menguatkan mentaliti seseorang.

Wallahu'alam. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

menanti saat doaku dimakbulkan

Adakah setiap kali anda berdoa, anda rasa doa anda tidak diterima oleh Allah? Anda dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang diminta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga anda rasa macam tidak larat hendak berdoa. Luangkan masa anda sejenak..muhasabah diri~


Semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan tersebut, eloklah kita renungkan sejenak pernyataan berikut:

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan: (maksudnya)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55). 

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:

(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga: (maksudnya)

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60). 

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :

« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :

« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :

“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). 

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Post Icon

Ganjaran Pengorbanan Isteri dan Ibu

*PAHALA WANITA

MENGANDUNG

Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan daripadanya 1,000 kejahatan.

* PAHALA WANITA BERSALIN

Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

* KELEBIHAN MELAHIRKAN ANAK

Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

* KELEBIHAN MEYUSUKAN ANAK

Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

* PAHALA MEMELIHARA ANAK

Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberikannya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

* GANJARAN MENOLONG SUAMI

Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya.

* GANJARAN WANITA SOLEHAH

Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

* GANJARAN MENTAATI SUAMI

Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang di kehendaki dengan tidak berhisab.

* KELEBIHAN SEORANG IBU

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Allahu akbar, itu semua adalah ganjaran oleh Allah s.w.t. bagi mereka yang ikhlas melaksanakannya dengan hati yang terbuka. Sekiranya, seseorang isteri dan ibu itu tahu betapa besarnya ganjaran pahala yang akan diterima kelak, sudah pasti tidak akan ada perbuatan membuang bayi, membunuh bayi dan sebagainya. Anak merupakan saham di alam akhirat kita kelak.

Para suami dan anak-anak, sedar dan fahamilah pengorbanan seorang isteri dan ibu dalam menjalani kehidupan seharian. Sekiranya suami mahu sama-sama ringankan tangan untuk membantu, syukur. Berilah penghargaan dalam bentuk material atau hadiah, itu dikira cukup baik. Paling tidak, penghargaan dalam bentuk kata-kata, sikap dan belaian mesra pun amat tinggi harganya. Mereka ini tidak menuntut bayaran sesen pun dari suami bagi kerja-kerja yang dibuatnya, namun balasan Allah s.w.t. adalah ganjaran yang paling berharga.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS